Senarai zon boleh huni untuk kehidupan kompleks Zon boleh huni untuk kehidupan kompleks

Dari masa ke masa dan dengan lebih banyak kajian dilakukan, ahli astronomi, ahli kosmologi dan ahli astrobiologi telah menemui lebih banyak parameter yang diperlukan untuk kehidupan. Setiap parameter mungkin mempunyai zon padanannya. Beberapa zon yang ditakrifkan termasuklah:[26][27]

  • Zon boleh huni ultraungu: satu zon orbit apabila sinaran ultraungu (UV) dari sebuah bintang yang tidak begitu lemah serta tidak begitu kuat supaya kehidupan boleh wujud.[28] Semua kehidupan memerlukan kandungan ultraungu yang tepat untuk penghasilan bahan-bahan biokimia. Keluasan zon tersebut bergantung pada jumlah sinaran ultraungu dari bintang tersebut, julat panjang gelombang UV, umur bintang tersebut, serta atmosfera planet yang terlibat. Dalam badan manusia UV diperlukan untuk penghasilan vitamin D.[29][30] Ultraungu lampau (EUV) boleh menyebabkan kehilangan atmosfera.[31]
  • Zon boleh huni fotosintesis: satu zon orbit dengan kedua-dua air dalam bentuk cecair serta fotosintesis beroksigen boleh berlaku. Perkara ini bergantung pada julat panjang gelombang sinaran dari bintang terlibat. Bintang-bintang kerdil merah mempunyai paras sinaran suria yang rendah dengan julat panjang gelombang yang rendah, maka zon boleh didiami fotosintesis akan menjadi lebih dekat dengan bintang tersebut. Namun begitu, orbit planet yang terlalu dekat dengan bintangnya juga menguncikan pasang surut planet. Bintang-bintang kerdil merah juga mempunyai jangka hayat yang pendek. Keamatan cahaya, kelembapan, paras karbon dioksida, pH tanah, serta kandungan mineral tanah juga perlu berada dalam julat tertentu untuk fotosintesis.[32][33][34][35]
  • Zon boleh huni troposfera atau Zon boleh huni ozon: satu zon apabila sesuatu planet memerlukan kandungan ozon yang tepat untuk kehidupan. Kandungan ozon terlalu tinggi menyebabkan permasalahan pernafasan untuk kehidupan. Penghirupan ozon terlalu banyak menyebabkan keradangan dan kerengsaan.[36] Ozon troposfera yang terlalu sedikit pula akan menghasilkan kabut biokimia. Di Bumi ozon troposfera merupakan sebahagian daripada perlindungan ozon berparas bumi. Ozon troposfera terbentuk melalui interaksi antara sinaran ultraungu dengan hidrokarbon dan nitrogen oksida.[37][38][39]
  • Zon boleh huni kadar putaran: zon orbit yang kadar putaran sesebuah planet adalah terbaik untuk kehidupan. Jika putaran itu terlalu perlahan maka perbezaan suhu siang/malam akan menjadi terlalu hebat, manakala peningkatan kadar putaran pula meningkatkan kelajuan angin secara berterusan di atas permukaan bumi. Sebarang perubahan pada kadar putaran boleh menyebabkan perubahan pada taburan awan, altitud awan dan kelegapan awan. Perubahan-perubahan pada awan tersebut akan menyebabkan perubahan pada kebolehpantulan cahaya serta suhu planet itu.[40][41][42]
  • Zon boleh huni kecondongan paksi putaran planet, atau Zon boleh huni keoblikan: suatu lingkungan apabila kecondongan paksi putaran sesuatu planet itu kekal stabil.[43] Paksi ini merupakan paksi putaran pada satah orbit mengelilingi bumi. Paksi putaran Bumi tercondong sehingga 23.5° yang mewujudkan peralihan musim serta penghasilan salji dan ais yang boleh mencair sehingga membekal air yang mengalir pada musim panas.[44][45] Keoblikan mempunyai impak besar terhadap suhu planet serta zon boleh huninya.[46][47][48][49]
  • Zon boleh huni pasang surut. Planet yang terlalu dekat dengan bintang akan terkunci pasang surutnya. Jisim bintang dan jarak dari bintang menetapkan zon boleh huni pasang surut. Planet yang terkunci pasang surutnya mempunyai satu sisi planet menghadap bintang, dan sisi ini akan menjadi sangat panas. Manakala sisi yang jauh dari bintang akan berada di bawah paras beku. Planet yang terlalu dekat dengan bintang juga akan mengalami pemanasan pasang surut dari bintang itu. Pemanasan pasang surut boleh mengubah kesipian orbit planet. Jarak planet yang jauh dari bintangnya pula tidak akan menerima haba suria yang mencukupi.[50][51][52]
  • Zon boleh huni astrosfera merupakan zon dengan astrosfera planet yang menjadi cukup kuat untuk melindungi planet daripada angin suria dan sinar kosmos. Astrosfera mestilah tahan lama untuk melindungi planet ini. Planet Marikh kehilangan air dan sebahagian besar atmosferanya selepas kehilangan medan magnetnya serta peristiwa bencana karbonat Marikh.[53][54] Angin suria bintang Matahari diperbuat daripada zarah bercas yang termasuklah plasma, elektron, proton dan zarah alfa. Angin suria adalah berbeza untuk setiap bintang. Medan magnet Bumi sangat besar dan telah melindungi Bumi sejak pembentukannya.[55][56][57]
  • Zon boleh huni medan elektrik atmosfera merupakan suatu lingkungan medan elektrik ambipolar yang tepat untuk medan elektrik pada sesebuah planet itu membantu ion mengatasi graviti.[58] Ionosfera planet tersebut mesti pada tahap yang tepat untuk melindungi planet tersebut daripada kehilangan atmosfera. Hal ini merupakan penambahan kepada keberadaan medan magnet yang kuat untuk melindungi planet tersebut daripada angin suria yang menghilangkan atmosfera dan air ke angkasa lepas.[59][60][61]
  • Zon boleh huni kesipian orbit merupakan satu zon yang melibatkan bentuk orbit planet terlibat berada dalam keadaan yang hampir bulat. Ini adalah kerana orbit yang mempunyai tahap kesipian yang tinggi akan mengakibatkan planet tersebut bergerak masuk dan keluar daripada zon boleh huni.[62] Dalam sistem suria hipotesis pemeraian besar (the grand tack hypothesis) mewujudkan teori penempatan unik terhadap planet gergasi gas, jalur sistem suria dan planet berhampiran orbit bulat.[63][64][65]
Fail:Four Habitable zone for complex life.pngZon boleh huni karbon dioksida berserta zon boleh huni karbon monoksida
  • Zon boleh huni karbon dioksida merupakan sebuah rantau apabila planet yang berada di dalamnya akan mempunyai aras karbon dioksida yang tepat. Julat aras karbon dioksida untuk kehidupan adalah amatlah kecil. Gas karbon dioksida adalah penting untuk kehidupan. Bentuk-bentuk hidupan menggunakan karbon dioksida untuk mengawal atur pernafasan dan pH darah. Tumbuhan pula menggunakan karbon dioksida untuk menghasil oksigen melalui fotosintesis. Aras karbon dioksida yang terlalu tinggi akan menyebabkan hiperkapnia.[66][67]
  • Zon boleh huni karbon monoksida merupakan sebuah zon apabila planet yang berada dalamnya akan mempunyai aras karbon monoksida yang rendah. Karbon monoksida ialah sejenis gas yang beracun, tidak berwarna, tidak berbau dan tiada rasa. Karbon monoksida adalah sedikit kurang tumpat berbanding udara.[68][69] Sebuah planet yang mempunyai atmosfera yang menjana kehidupan tidak boleh mempunyai sebarang bintang yang lebih malap berbanding matahari, kerana ia mengakibatkan penghasilan paras maut karbon monoksida. Di Bumi, karbon monoksida tidak berkumpul disebabkan Matahari mempunyai parameter tepat untuk menghancurkan karbon monoksida di atmosfera.[70] Bintang karbon berada pada sisi ekstrem yang menghasilkan paras maut karbon dioksida.[71][72][73]
  • Zon boleh huni gandingan planet-bulan - magnetosfera merupakan zon yang membolehkan bulan sesebuah planet dengan teras planet tersebut menghasilkan magnetosfera yang kuat, yakni medan magnet yang dapat melindungi planet tersebut daripada angin suria yang menanggalkan atmosfera dan air ke angkasa lepas. Sebaik sahaja Marikh mempunyai medan magnet wujud untuk beberapa waktu, Saied Mighani mengemukakan pada tahun 2020 bahawa Bulan kepada Bumi turut mempunyai magnetosfera yang besar selama beberapa ratus juta tahun selepas pembentukannya. Magnetosfera Bulan akan memberikan perlindungan tambahan kepada atmosfera Bumi kerana Matahari awal tidak sestabil seperti hari ini. Pada tahun 2020 James Green memodelkan zon boleh huni gandingan planet-bulan-magnetosfera. Pemodelan itu menunjukkan magnetosfera gandingan planet-bulan akan memberikan planet perlindungan daripada angin bintang dalam sistem suria awal. Dalam kes Bumi, Bulan lebih dekat dengan Bumi dalam pembentukan awal sistem suria, maka memberikan perlindungan tambahan. Perlindungan ini diperlukan ketika itu kerana Matahari tidak begitu stabil ketika itu.[74][75]
  • Zon boleh huni bergantung pada tekanan merupakan satu zon yang mempunyai tekanan atmosfera yang tepat untuk mewujudkan cecair air di permukaan planet tersebut. Dengan tekanan atmosfera yang nipis, suhu air mendidih adalah jauh lebih rendah.[76][77] Manakala di Marikh hari ini, dengan tekanan atmosferanya yang rendah, takat beku, takat sejat dan takat didih air semuanya berada pada suhu yang sama. Oleh itu air dalam bentuk cecair tidak boleh wujud di permukaan Marikh.[78][79] Planet dengan atmosfera bertekanan tinggi akan mempunyai cecair air permukaan. Tetapi bentuk kehidupan akan mengalami kesukaran dengan sistem pernafasan pada atmosfera tekanan tinggi.[80][81]
  • Zon boleh huni galaksi (GHZ), juga dikenali sebagai zon Goldilocks Galaksi, merupakan suatu rantau pada sesebuah galaksi dengan kehadiran unsur logam berat yang diperlukan untuk pembentukan planet berbatu dan kehidupan, malahan juga merupakan sesuatu rantau yang sinar kosmos tidak akan membunuh kehidupan serta menanggalkan atmosfera planet itu. Istilah "goldilocks" digunakan kerana zon tersebut melibatkan keseimbangan halus antara kehadiran unsur logam berat dengan sinar kosmos. Zon boleh huni galaksi merupakan sesuatu tempat yang sesebuah planet itu mempunyai parameter diperlukan untuk menyokong keberadaan kehidupan. Bukan semua galaksi dapat menyokong kehidupan.[82] Banyak galaksi mempunyai peristiwa membunuh seperti letusan sinar gama. Sekitar 90% galaksi mempunyai letusan sinar gama yang lama dan kerap, maka memustahilkan kewujudan kehidupan. Sinar-sinar kosmos pada paras tinggi akan membunuh kehidupan, kerana terdapat ancaman kesihatan daripada sinar-sinar kosmos tersebut. Galaksi dengan banyak bintang yang terlalu berdekatan dan/atau tiada sebarang pelindungan habuk tidak dapat menyokong kehadiran kehidupan. Galaksi tak nalar dan galaksi kecil lain tidak mempunyai unsur-unsur logam berat yang mencukupi. Galaksi elips adalah penuh dengan radiasi membunuh dan kekurangan unsur logam berat. Galaksi pilin gergasi seperti Bima Sakti mempunyai unsur logam berat yang diperlukan untuk kehidupan pada pusatnya serta sekitar separuh luar daripada palang pusatnya.[83] Bukannya semua galaksi pilin gergasi sama, galaksi pilin yang terlalu banyak pembentukan bintang akan membunuh galaksi berserta kehidupannya.[84][85] Terlalu sedikit pembentukan bintang akan mengakibatkan keruntuhan pilin galaksi.[86] Bukan semua galaksi pilin mempunyai parameter penanggalan tekanan hentam galaksi, tekanan hentam yang terlalu tinggi akan menanggalkan gas galaksi maka menamatkan pembentukan bintang. Bima Sakti merupakan sebuah galaksi pilin berpalang, palang di tengah galaksinya adalah penting untuk pembentukan bintang serta kelogaman bintang dan planet yang terdapat pada galaksi tersebut. Galaksi pilin berpalang mesti mempunyai lengan stabil dengan kadar pembentukan bintang yang paling sesuai. Galaksi berpalang adalah 65% daripada galaksi pilin, tetapi kebanyakannya mempunyai terlalu banyak kadar pembentukan bintang.[87] Sebuah galaksi janggal tidak mempunyai lengan pilin yang stabil.[88] Galaksi tak nalar pula terlalu banyak bintang baharu dan kekurangan unsur logam berat.[89][90] Galaksi pilin tidak berpalang tidak mempunyai proses penghasilan bintang serta kelogaman yang tepat untuk zon goldilocks galaksi.[87][91] Untuk kehidupan jangka panjang di planet, lengan pilin mesti stabil untuk jangka masa yang panjang seperti pada Bima Sakti. Lengan pilin tidak boleh terlalu rapat antara satu sama lain atau akan terdapat terlalu banyak sinaran ultraungu. Jika planet bergerak ke dalam atau melintasi lengan pilin, orbit planet boleh berubah akibat gangguan graviti. Pergerakan melintasi lengan pilin juga akan menyebabkan impak asteroid yang membawa maut serta radiasi yang tinggi.[92][93][94] Planet mesti berada di tempat yang betul dalam galaksi pilin, terlalu dekat dengan pusat maka sinaran pada palang tengah dan daya graviti terlalu besar untuk kehidupan. Terlalu jauh dari pusat maka tidak cukup unsur berat untuk kehidupan. Matahari berada pada kedudukan 28,000 tahun cahaya dari bar tengah di zon goldilocks galaksi. Pada jarak ini Matahari beredar dalam galaksi pada kadar yang sama seperti putaran lengan berpilin, dengan itu meminimumkan lintasan ke lengan lain.[95][87][96]
  • Zon boleh huni supergalaksi merupakan tempat pada gugusan super galaksi yang boleh menyediakan kebolehdiaman kehidupan di planet. Zon Boleh Huni Supergalaksi mengambil kira peristiwa dalam galaksi yang boleh menamatkan kebolehdiaman bukan sahaja dalam galaksi, tetapi semua galaksi berdekatan. Peristiwa seperti: cantuman galaksi, nukleus galaksi aktif, galaksi berletus bintang, lohong hitam supermasif dan lohong hitam bercantum, semuanya menghasilkan sinaran yang melampau. Zon Boleh Huni Supergalaksi juga mengambil kira unsur jadual berkala dalam galaksi, dan disebabkan itu tidak semua galaksi dan tempat dalam galaksi mempunyai semua elemen yang diperlukan untuk kehidupan.[97][98][99][100]
  • Zon Boleh Huni untuk Kehidupan Kompleks (ZBHKK), merupakan tempat apabila kesemua zon boleh huni kehidupan bertindih untuk jangka masa lama seperti Sistem Suria.[70] Antara faktor lain terlibat termasuklah: bintang yang sangat stabil dengan warna yang betul, jalur asteroid yang stabil; kewujudan planet gergasi gas untuk melindungi kehidupan di planet ini daripada asteroid dan komet besar; semua planet yang mempunyai orbit hampir bulat; bulan besar untuk menstabilkan planet; saiz planet yang betul; teras planet yang betul; bentuk kehidupan yang berubah dengan kecerahan bintang; tektonik plat; kitaran karbon; kitaran air yang stabil; nisbah keluasan tanah ke lautan yang tepat; tekanan atmosfera yang betul dan gas atmosfera yang betul; julat suhu yang jauh lebih kecil daripada hanya untuk hidupan bakteria, di mana tiga fasa air boleh hadir di permukaan planet ini.[101][71][102][103][104] Disebabkan penyelidikan tidak menemui bintang lain yang sangat stabil (kembar suria) atau eksoplanet seakan bumi (kembar Bumi), hipotesis Bumi Nadir telah mendapat lebih banyak bukti.[105] Senarai zon boleh didiami untuk kehidupan kompleks telah berkembang lebih lama apabila lebih banyak pengetahuan tentang alam semesta, galaksi dan sistem suria diperolehi.[106][107][108][109] Bentuk kehidupan kompleks biasanya ditakrifkan sebagai bentuk kehidupan eukariot, yang termasuklah kesemua haiwan, tumbuhan, kulat, serta kebanyakan organisma unisel. Bentuk kehidupan ringkas biasanya ditakrifkan sebagai prokariot.[110]